Friday 28 October 2011

IJTIMA TARBAWI - SATU HATI



UPAH ORANG ASING NAIK IMEJ, PM TERUS BAZIR WANG RAKYAT

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengupah orang asing untuk menaikkan imejnya adalah membazir, sia-sia dan tidak adil.
"Jika benar Najib mengupah Alastair Campbell yang pernah menjadi ketua komunikasi bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk menaikkan

imejnya dan wang rakyat digunakan untuk tujuan itu, ia bukan sahaja membazir dan sia-sia, malah amat tidak adil menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan partinya," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sarawak Report sebelum ini melaporkan, Campbell kini menasihati Najib untuk memastikan kemenangan Umno Barisan Nasional (BN) dalam pilihan
raya akan datang.

"Mana pergi pakar-pakar tempatan yang hebat-hebat untuk menaikkan imej Najib setelah imej Umno BN jatuh merudum terutama di kalangan pengundi bukan Melayu?
"Kita difahamkan ada pakar dari stesen TV terkenal diambil untuk menaikkan imej imej Najib dan partinya. Adakah pakar itu gagal
menaikkan imej Najib dan memperbaiki imej (isteri Najib, Datin Seri) Rosmah (Mansor)?" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan.

Beliau berkata, Najib tidak perlu mengkaji pergi jauh-jauh dan mengikis wang negara mengupah konsultan luar untuk menyedari tahap
penerimaan rakyat terhadap beliau dan kerajaannya.

"Ambil perhimpunan Bersih 2.0 dan Himpun (Himpunan Sejuta Umat) sebagai contoh. Walaupun sebelum perhimpunan Bersih 2.0 media-media
pro-Umno BN seperti kerasukan menghasut dan menakut-nakutkan orang ramai malah dengan pelbagai sekatan dan tindakan ganas terhadap
perhimpunan aman itu, Kuala Lumpur tetap dibanjiri rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil.

"Malah terdapat ramai penganalisis yang menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 yang mendapat liputan seluruh dunia itu sebagai kebangkitan rakyat
tanpa pemimpin," kata Salahuddin.

Sebaliknya, kata beliau lagi, Himpun yang mendapat 'tacit approval' dari kerajaan Najib dan disertai pula oleh histeria media-media
pro-Umno BN menyokong dan mendorong orang ramai menyertainya serta ditambah pula dengan sambutan mesra polis yang sebelum itu mengganasi Bersih 2.0, hanya 10,000 orang sahaja yang hadir.

"Saya ambil angka 10,000 orang yang disebut oleh akhbar pro-Umno BN sebagai tanda simpati  walaupun terdapat banyak laporan yang lebih
dipercayai yang menyatakan bahawa kehadiran sebenar amat jauh lebih kecil dari itu," kata beliau.

Perbezaan sambutan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan Himpun merupakan bukti yang sangat jelas tentang penerimaan mereka terhadap Umno BN,
kata beliau.

Malah, kata Salahuddin lagi, tidak cukup dengan tamparan hebat rakyat melalui perbezaan sambutan mereka terhadap Bersih 2.0 dan Himpun itu,
Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui imej Najib jatuh merudum akibat penangan Bersih 2.0.

"Tak perlulah Najib membazir wang rakyat secara tidak adil untuk memulihkan imejnya dengan mengambil konsultan asing seperti Campbell,
jika benar beliau berbuat demikian.

"Saya bersetuju dengan pandangan yang menyatakan konsultan asing pun tak akan mampu menukar sang kodok menjadi putera raja," katanya