Saturday 30 April 2011

TINGGAL UMNO SERTAI PAS

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini. 

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” kata beliau.

Presiden PAS itu memberi respons terhadap kesekelian kalinya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Najib berkata, pemimpin PAS perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.

''Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung, Kuala Terengganu semalam.

Bagi PAS, tegas Tuan Guru Abdul Hadi seruan Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Jelasnya lagi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Ia, katanya tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.


KENAPA QAZAF TIDAK DILAKSANA?

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain mempersoalkan keengganan kerajaan untuk melaksanakan hukum qazaf dalam isu yang membabitkan video lucah.

"Apabila kerajaan sering memomokkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam, kenapa hukuman seperti qazaf yang memerlukan empat orang saksi yang tidak fasik dan adil itu enggan dilaksanakan, sedangkan kerajaan mempunyai ramai ilmuan dan pakar dalam bidang tersebut.

"Sebagai peringatan, jangan kita dilaknat oleh Allah apabila berkemampuan untuk melaksanakan hukum tersebut, tetapi enggan melaksanakannya kerana kepentingan tertentu," tambahnya lagi.

Mengenai tindakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang memperjudikan sumpah laknat, katanya membuktikan dia adalah seorang yang tidak memahami agama Islam yang sebenar.

Menurut beliau lagi, ianya telah juga menjelaskan secara ketara kehidupan yang penuh kepura-puraan kerana sumpah dijadikan mainan munafik seperti mana yang dijelaskan dalam surah Al-Munafiqun.

"Sepatutnya sebagai seorang yang telah berusia Eskay sepatutnya bertaubat nasuha dan tidak merendahkan maruah sendiri seperti pengakuan yang dibuat.

"Malah sekiranya nasihat seorang imam dari masjid terbabit juga tidak dipedulikan, ini seolah-olah dia orang yang lebih tinggi martabatnya jika dibandingkan dengan imam tersebut," ujarnya lagi.


BEKAS MUFTI GESA RAKYAT GUNA KUASA UNDI

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya mengingatkan seluruh rakyat Malaysia jangan terus menjadi seperti pokka yang asyik mengangguk sahaja kerjanya sepanjang hayat.

Datuk Hashim (gambar) berkata, rakyat negara ini mesti berani menggunakan kuasa mereka untuk membuat perubahan setelah lebih 50 tahun mengiyakan apa sahaja dilakukan oleh kerajaan.

"Jika rakyat negara lain seperti Tunisia menjadi pokka (sejenis haiwan yang suka menganggukkan kepala) lebih 30 tahun, Mesir juga lebih 30 tahun, rakyat Malaysia pula menjadi pokka lebih dari 50 tahun," kata beliau serius dalam seloroh.

Untuk makluman, binatang pokka atau sesumpah mirip mengkarung yang kerjanya hanya mengangguk sahaja tanpa sekali pun mengingkari perbuatan itu meskipun berlaku apa sahaja di sekelilingnya.

Bekas pensyarah UM dan UIAM berusia 72 itu berucap demikian ketika bercakap dalam Bicara Buku Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawy di Masjid Negeri, dekat sini, tengah hari tadi.

Turut serta adalah Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Jurnalis dan Editor Majalah Sabili Indonesia, Herry Nurdi dengan moderator oleh Ustaz Nazmi Karim.

Slot Bicara Buku anjuran Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) sempena mesyuarat agung pertama hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Hashim kesal dengan tulisan Ulama Muda UMNO dalam sebuah akhbar harian yang dengan mudah menyimpulkan rakyat tidak mentaati kerajaan sekarang ini boleh dibunuh.

"Rakyat hanya wajib mentaati kerajaan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya," tegasnya sambil menghuraikan dengan lebih lanjut tentang duduk perkara sebenar.

Menurutnya, mereka yang membaca tulisan seumpama itu hendaklah berhati-hati jangan mudah terpengaruh dengan huraian yang jauh menyimpang dari kehendak dan pengajaran agama.

Sementara itu, ketika membahaskan isi kandungan buku Syeikh Yusuf, Datuk Hashim berkata, terdapat satu pengajaran besar yang terdapat di dalam buku itu.

"Setiap orang yang dilahirkan sebagai Muslim adalah seorang ahli politik yang boleh menggunakan kuasa mereka untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara ini.

"Rakyat Malaysia sudah memberikan masa kepada kerajaan yang ada ini melebihi lima puluh tahun dan kini sampai masanya untuk mereka menggunakan kuasa ini memilih parti yang berhasrat mengangkat perjuangan kebenaran," tegasnya sambil menunjukkan isyarat mengundi.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung pertama Salimah selepas itu, Datuk Hashim berkata, penubuhan NGO Islam ini tepat pada masanya kerana berlaku berbagai masalah dalam negara ketika ini.

Menurutnya, perjuangan untuk merubah keadaan ke arah penegakan kebenaran akan memakan masa, perlukan pengorbanan dan bersedia dengan cabaran menyentuh perasaan.

Turut berada di pentas adalah Penasihat-penasihat Salimah, Cikgu Azmi dan Mohideen Abdul Kader.


PRESIDEN MCA NAK PANGKAH PKR, MARUAH UMNO DILELONG

Mungkin MCA sudah tiada idea lain yang lebih bernas untuk menarik sokongan masyarakat Cina ekoran kekalahan rakan sekutunya SUPP di Sarawak.
Justeru, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat berkata mengekalkan hak istimewa orang Melayu yang terangkum dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah menjadi  persetujuan bersama  dalam Pakatan Rakyat (PR) semasa konvensyen di Shah Alam tahun 2009.
Tambahnya, tidak mungkin disebabkan seorang tokong kontroversi Soi Lek maka PR akan berubah sikap.
“Sebagai pemimpin senior dalam Barisan Nasional (BN), Soi Lek sewajarnya mendidik masyarakat  memahami mengapa adanya hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Jelasnya, hak istimewa orang Melayu bukan menjadi halangan orang bukan Melayu untuk hidup selesa di negara ini.
Katanya, hak istimewa orang Melayu dilihat tempang kerana pengkhianatan Umno yang berlindung di balik dasar ini untuk mengumpul kekayaan kroni-kroni mereka.
“Bermaksud jika tiada penghianatan Umno dan negara diurus dengan adil dan saksama maka hak istimewa orang Melayu tidak menjadi perkara yang dipertikai. 
Tambahnya, tanpa pengkhianatan Umno, orang Melayu sudah lama maju di negara ini. 
“Jika orang Melayu sudah maju dan kedudukan ekonominya sudah seimbang dengan kaum-kaum lain, maka saya percaya orang Melayu sudah tidak perlukan lagi tongkat hak istimewa orang Melayu lagi,” ujarnya.
Buat waktu ini, katanya hak istimewa orang Melayu masih diperlukan.
Beliau sangat khuatir permainan politik Dr Chua Soi Lek mengenai hak istimewa orang Melayu akan menambah parah lagi salah faham antara kaum dalam negara ini.
Menurutnya, ada banyak perkara lain yang boleh menarik perhatian masyarakat bukan Melayu untuk mengundi MCA selain sentimen perkauman.
“Tetapi Dr Chua Soi Lek sengaja mencari populariti membangkitkan isu yang sensitif bagi menarik perhatian masyarakat Cina khususnya untuk menyokong MCA,” katanya.
Baginya, betapa murahnya harga perjuangan politik Dr Chua Soi Lek sehingga sanggup menjolok sarang tabuan demi mendapat secupak keuntungan politik.
Katanya, keceluparan Chua Soi Lek ini juga melambangkan kegagalan Umno mengawalnya.
Baginya, Dr Chua Soi Lek umpama harimau yang sudah terlepas dalam kandang Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, hak istimewa orang Melayu adalah maruah Umno di mana memberi perakuan untuk mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu adalah umpama melelong maruah Umno di pasar Batu Pahat. 
“Di mana Pemuda Umno? Di mana Pemuda BN? Di mana Khairy Jamaluddin?”
“Saya cabar Umno dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Pengerusi BN bertindak tegas terhadap keceluparan Chua Soi Lek,” katanya.

Friday 29 April 2011

ESKAY BOHONG LAGI

BULETIN TV3 sebentar tadi, terang-terang Datuk Eskay bagitahu dia berani buat sumpah laknat esok kerana dia sendiri berada di dalam bilik sewaktu aksi seks DS Anwar berlaku. Bertambah pening orang yang sedia bodoh dengan pengakuan Eskay ini. Mengapa saya berkata demikian?

Bukankah Eskay awal dulu mendakwa bahawa dia terjumpa kamera tersembunyi tersebut di dalam bilik hotel sewaktu Anwar menyuruhnya mengambil jam yang tertinggal? Kununnya untuk memastikan bahawa itu adalah Anwar, beliau mengajak beberapa orang termasuk Rahim, Shuib juga YB Johari Abdul termasuk Chegu Bard menontonnya.

Sekejap beliau kata terjumpa kamera tersebut, sekarang ini mengaku beliau ada di dalam bilik berkenaan. Adakah kerana video itu sudah terkantoi kerana kelihatan kelibat lelaki lain selain lelaki yang kununnya Anwar di dalam video tersebut, maka dia terpaksa mengubah cerita?

Jika beliau memang benar berada di situ, apakah tujuannya? Jika untuk memerangkap Anwar, tidakkah lebih baik dan berkesan dengan menghubungi pihak berkuasa Agama untuk menangkapnya? Tentu lebih berkesan dan Anwar tidak boleh mendakwa itu satu konspirasi lagi.

Lojikkah Anwar mahu buat projek dengan Eskay berada di dalam bilik? Eskay kununnya memanggil beberapa orang untuk mengesahkan itu adalah Anwar. Mahu sahkan apa lagi jika beliau sendiri kata beliau berada di dalam bilik bersama Anwar? Jika beliau berkata beliau ada bersama Anwar, mengapa beliau sebelum ini memberitahu kejadian berlaku di sebuah hotel tetapi Polis menyebut di sebuah apartment? Siapa yang berbohong? 


Thursday 28 April 2011

BOIKOT AKHBAR UTUSAN!

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disaran tidak membeli dan membaca Akhbar Utusan Malaysia kerana media tersebut boleh dikategori sebagai “haram” dari sudut Islam, tegas ulama terkemuka tanahair, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz.
Menurutnya, mana-mana media yang menghalalkan amalan fitnah, cubaan mengaibkan orang lain, menggalakkan berlakunya perpecahan umat Islam dan perpaduan kaum adalah haram untuk dibeli dan dibaca.
“Islam adalah agama penyatuan, agama perpaduan, agama yang saling hormat menghormati dan agama yang memberi rahmat kepada sekelian alam.
“Islam menegah amalan menyebarkan berita yang tidak baik seperti mengaibkan orang lain. Hukum Syarak menegah segala amalan yang dibawa oleh mulut atau pun media seperti ini,” jelas beliau.
Kenyataan Haron Din itu disiar dalam akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan yang boleh diperolehi di pasaran mulai hari ini.
Menurut Dr Haron, Al-Quran juga menyatakan “Maka sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan berita-berita yang keji (menjatuhkan maruah seseorang), maka bagi mereka itu azab siksa di dunia dan di akhirat.
Menurutnya lagi, berdasarkan hukum Fekah yang di sebut dalam kitab Fekah, Minhajul Abidin menyatakan, haram ke atas orang Islam menyebarkan berita keji ke atas orang Islam, tidak kira sama ada peristiwa itu benar atau sebaliknya.
“Kalau berita itu palsu ia adalah suatu fitnah jahat yang mengundang bala Allah yang segera. Kalaulah ia benar maka ia membuka ruang fitnah yang mengundang pelbagai keburukan, sedangkan sepatutnya ia menutup perkara tersebut.” jelas beliau.

TIADA HAK RAMPAS SELIPAR, INIKAN PULA NEGERI BERDAULAT

KOTA BHARU, 28 April: “Saya katakan, sepasang selipar pun tidak ada sesiapa yang berhak merampasnya dari tuannya yang asal, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat.
“Insya Allah, harapan saya mesej ini sampai kepada dunia,” tulis Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di laman twitter.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menyatakan demikian yang menyentuh mengenai isu Palestin selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W Jones di pejabatnya di sini, tengah hari ini.
Menurutnya, banyak perkara yang dibincangkan dengan duta berkenaan seperti isu pendidikan, senario politik di Malaysia dan lain-lain.
“Tidak lupa saya tegaskan pendirian saya terhadap isu Palestin dan rasa tidak puas hati dengan polisi Amerika Syarikat di Palestin,” tulis beliau lagi.

QAZAF JALAN TERBAIK


SHAH ALAM 28 APRIL : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini mengaku hanya beliau seorang sahaja akan mengambil sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul esok untuk memperkuatkan dakwaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah yang disebarkannya.

Eskay tidak memberitahu kenapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim enggan bersama beliau untuk mengambil lafaz itu, tetapi menegaskan beliau berbuat demikian kerana “agama, bangsa dan negara.”

Eskay turut mencabar Anwar untuk mengambil sumpah itu bersamanya di  Masjid Amru al-Aas, Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat esok.

Bagaimanapun dua tokoh agama iaitu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr Badrulamin Bahrom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syariat Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.

“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja,  ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata Tan Sri Harussani kepada TvSelangor.

“Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina,  dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah. Menuduh orang berzina itu maknanya qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi perlu bawa bukti,” tambah beliau.

Mengulas lanjut sumpah laknat yang bakal dilakukan oleh Eskay, Harunsani berkata cara itu selalunya membabitkan pertuduhan zina antara suami isteri.

“Selalunya orang yang membuat sumpah laknat ini adalah kalau pertuduhan Li'an iaitu suami tuduh isteri. Qazaf ini,  kalau dia (trio 'Datuk T') tidak boleh mengemukakan bukti, ikut hukum Islam dia (trio 'Datuk T') yang kena sebat. Itu saja hukumnya. Sebab itu tidak semudah ini untuk menghukum orang berzina,” kata Harussani.

Penceramah bebas Badrulamin menegaskan sumpah laknat jelas tidak sesuai digunakan dalam isu video lucah dan ia akan hanya mengusutkan keadaan.

“Sumpah laknat dalam kes video seks ini tidak menurut ajaran Islam dan hanya menurut logik dan akal manusia. Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang berleluasa dalam masyarakat kerana andai kata kedua-dua pihak sanggup bersumpah ia tidak akan selesaikan sebarang masalah,” kata beliau. 

“Jika kita hendak menghentikan fitnah yang sedang melanda ummat ini hanya ada satu jalan iaitu melaksanakan hukum Qazaf,” kata beliau.

“Jamil Khir sepatutnya menyokong pelaksanaan hukum qazaf bukan sebaliknya menutup fail yang diajukan kepada mahkamah syariah di bawah kes qazaf  dan menyuburkan pula budaya sumpah menyumpah ini,” tegas beliau.

PEMUDA TOLAK FITNAH LUCAH

Pemuda PAS Batak Rabit mengutuk sekeras-kerasnya permainan politik kotor dan jijik untuk menjatuhkan kredibiliti dan imej Dato' Seri Anwar Ibrahim melalui fitnah lucah yang disebarkan. Pemuda berpendapat konspirasi berterusan yang bersifat lucah terhadap ketua pembangkang itu merupakan satu tindakan terdesak pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Semalam, video sedutan yang kedua telah disebarkan melalui blogger-blogger UMNO di laman blog mereka (Pemuda harap pembaca tidak menonton video tersebut). Dengan kebocoran sedutan video yang kedua itu, integriti polis amat dipersoalkan setelah pihak polis mengeluarkan kenyataan bahawa kebocoran seperti rakaman sedutan video yang pertama tidak akan berlaku. Pemuda merasakan ini adalah satu siri cubaan terbaru untuk mengaibkan Dato Seri Anwar Ibrahim secara berterusan.

Pemuda PAS Batak Rabit merasakan wujud permainan politik dalam isu ini berikutan beberapa perkara yang pelik bin ajaib yang berlaku sepanjang pengendalian kes ini setakat ini. Datuk T yang mengaku menjadi dalang dalam kes ini masih belum ditangkap dan dalam masa yang masa bagaimana satu-satunya salinan asal yang ada di tangan pihak polis boleh dicerobohi?

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PAS Batak Rabit yakin bahawa individu yang dikatakan Ketua Pembangkang di dalam video tersebut bukanlah Ketua Pembangkang berdasarkan beberapa fakta penting yang wujud di dalam video tersebut.

Antaranya, perut individu yang tersangat boroi amat berbeza sekali dengan fizikal Anwar Ibrahim. Paling jelas, bukti Anwar sedang bertwitter sedang dalam video tersebut difahamkan tidak wujud tanda-tanda individu tersebut bertwitter. Selain itu, keadaan individu tersebut yang tidak berjanggut walhal keesokkan harinya ketika Anwar ke mahkamah beliau masih berjanggut. Mustahil janggut akan tumbuh lebat dalam masa sehari.

Rambut individu yang didakwa Anwar Ibrahim pendek dan nipis di
sebelah tepi walhal keesokkannya ketika di mahkamah
rambut Anwar Ibrahim lebat. Mustahil rambut lebat dalam
sehari.
Justeru, Pemuda PAS Batak Rabit sekali lagi berpendirian menolak sekeras-kerasnya fitnah lucah versi terbaru ini dan berharap rakyat akan sedar dan bangkit untuk menentang penzalim di negara ini.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan!!




ISU VIDEO SEKS: PEMIMPIN GEREJA KATOLIK PUN TOLAK TAPI UMNO TERIMA


PETALING JAYA, 28 April - Seorang pemimpin Gereja Katholik membidas TV3 dengan tindakan mereka menyiar potongan dari video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Biskop Paul Tan (foto), yang juga Presiden Konferens Bikop-biskop Katholik Malaysia, mengecam tindakan itu sebagai sesuatu kebiadaban yang tidak boleh dimaafkan. Semalam, stesyen TV yang ada kaitan dengan kerajaan tersebut telah menyiarkan potongan dari apa yang disifatkan bahagian kedua video yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wanita dikatakan warga China. “Dari awal lagi, kita melihat satu sikap yang serba membolehkan telah menjadi ciri kepada sikap pihak berkuasa terhadap episod jijik berkenaan,”kata Tan. “Sekarang sikap itu menjadi lebih biadab: pemaparan bahan yang keji dan buruk dilkakukan di TV awam untuk ditontoni oleh seluruh rakyat lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak. “Kebiadaban ini tidak boleh dimaafkan dimana kelemahan pihak berkuasa yang tidak bertindak tegas dari untuk menghapuskan ia dari peringkat awal sebagai satu kesilapan yang amat besar", katanya. Tan menggesa pihak berkuasa untuk bertindak tegas dan mengheret mereka yang memiliki dan menayang video seks sebelum “satu kejahatan melahirkan lebih kejahatan lagi selepasnya.” “Sikap membenarkan tayangan berkenaan, adalah relatifnya merupakan wajah kepada tindakan syaitaniah yang merupakan penyumbang jelas terhadap kerosakan moral yang kita temui di dalam kehidupan. “Para penjaga undang-undang dan moral (pihak polis) tidak boleh membiarkan penayangan kejahatan yang kurang ajar ini. Mereka perlu bertindak, jika tidak rakyat akan tanggung risikonya,” tegasnya.

[Ramai pihak sebenarnya yang terkejut dengan penayangan aksi video lucah yang dipaparkan oleh TV3 itu. Kini mereka sudah keterlaluan dan TV3 dijadikan alat untuk meneruskan agenda peribadi pemimpin tertentu. Sebab itu kita tidak hairan orang kuat TV3, si Farid Ridzuan danbeberapa orang kanannya dipanggil bekerja di Jabatan Perdana Menteri. Rupa-rupanya itulah agenda mereka ia itu menggunakan sepenuhnya peranan saluran terbabit untuk memesongkan minda rakyat selepas mereka tahun RTM tidak diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Akhirnya adengan menjijikkan ini boleh disiarkan tanpa perasaan malu dan segan silu. Bukan sahaja TV3 malahan akhbar-akhbar arus perdana juga terlibat. Mereka tidak sedar bahawa media itu ditonton dan dibaca juga oleh golongan kanak-kanak, remaja dan generasi muda. Apakah politik sebegini mahu dihalalkan demi mencapai agenda pihak terbabit. Bukankah ia sesuatu yang tidak wajar sebenarnya. Maka itu tindakan pemimpin Gereja Khatolik ini jelas membuktikan semua agama tidak menerima unsur seks keterlaluan seperti ini].

-  Malangnya UMNO terima. Mungkin sebab nafsu mereka kuat kowt.


Tuesday 26 April 2011

HANYA DENGAN ISLAM MELAYU AKAN DIHORMATI

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan, PAS adalah parti yang mengutamakan keamanan, perpaduan serta berpegang teguh kepada prinsip bahawa akidah Islam dan dasar-dasar Islam mampu memberikan kesejahteraan kepada semua.
Menurut beliau, PAS bukanlah parti perkauman yang khusus buat kaum-kaum tertentu, tetapi kita tidak nafikan bahawa majoriti ahli PAS adalah dari kalangan umat Melayu. Namun mereka bersama dengan parti ini atas semangat Islam dan bukannya kerana semangat Melayu.
Ust Abu Bakar Hussain
Pesuruhjaya PAS
Perak
Beliau menyatakan, PAS jelas begitu konsisten berdiri teguh menghormati dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu khususnya dalam aspek agama, budaya, tanah dan juga sosialogi yang lain.
PAS prihatin dengan nasib umat Melayu yang sering dijadikan mangsa dasar Liberalisasi dan Model Ekonomi Baru Kerajaan BN yang akhirnya mengecilkan kuota ekuiti Melayu daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus sahaja. Banyak lagi hak Istimewa orang Melayu yang gagal diangkat oleh Umno walaupun mereka bangga mengatakan bahawa merekalah Parti Melayu Terbesar di Malaysia, jelas beliau.
Pesuruhjaya PAS Perak itu juga turut menyatakan, PAS sedar kepentingan orang Melayu dan mengajak seluruh umat Melayu untuk bangkit berjuang atas nama Islam, kerana hanya dengan Islamlah mereka akan lebih dihormati.
PAS akan terus berjuang untuk semua, kerana PAS yakin setiap yang lahir kedunia ini ada hak untuk diperjuangkan tanpa mengira apa bangsa mereka. Keterbukaan PAS ini jelas dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS, dimana sebagai parti Islam kita juga mempunyai sokongan yang kuat kalangan bukan Islam untuk memimpin negara ini, tegas beliau


JELAJAH ORANG MUDA UNTUK PERUBAHAN: JOM UBAH!!

Jom Ubah!!!
Orang Muda Geng Kite
Projek : Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan [ JOM UBAH ] siri 1
Tapak projek : Seluruh Negara [  8 check point ] kecuali 3 negeri
Anjuran  : Lajnah Politik DPPM dengan kerjasama DACS Pusat dan DPP Negeri.

Tarikh : 19, 20, 21 dan 22 hb Mei 2011
Hari : khamis - ahad
Masa : 4.30 pm [ khamis ] - 7.00 pm [ ahad ]

Matlamat :

Menyemarak kebangkitan anak muda ke arah menuntut perubahan dan menolak kerajaan korupsi demi masa depan rakyat serta negara yang sejahtera.

Objektif :

1. Menggerakkan jentera DPP dIpelbagai peringkat [ kawasan dan negeri ] bagi menghadapi gelombang kebangkitan anak muda dan siap menghadapi pilihanraya.

2. Mengembeling tenaga "pemacu gelombang" kebangkitan anak muda Malaysia untuk mengurus dan memimpin kebangkitan mereka. [ exco DPP kawasan dan negeri ]

3. Menyemarak gelombang kebangkitan anak muda agar bersama dengan DPP menggerakkan agenda perubahan.

4. Membekalkan motivasi dan amanah perjuangan  serta bimbingan maklumat dari pucuk pimpinan.

5. Memasyarakatkan DPP serta membawanya dekat dengan sentimen dan aspirasi anak muda masakini.

Tentatif :

 [ Khamis. 19 hb Mei 2011 - khamis ]

02.30 pm  - Pelancaran JOM UBAH di Pantai Teluk Chempedak
                       [ Hi tea bersama DPP Negeri Pahang ]
                       Pelancaran Oleh : Ybhg. Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
                       Naib Presiden PAS. - 04.30 pm

05.10 pm - Jelajah Orang Muda bergerak ke Check Point 1 - 
                        Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.

09.00 pm - Solat, Makan malam dan Himpunan JOM UBAH 1 :
                      BBQ dan  edar Risalah Tawaran PAS kepada Anak Muda 
                      Amanah Perjuangan oleh :
                      Ybhg Ketua DPP Malaysia.
                      Yb. Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS.

11.30 pm - isterehat [ 20 hb Mei 2011 - Jumaat ]

05.00 am - Bergerak ke Kota Bharu

05.30 am - Solat subuh berjamaah, sarapan dan bergerak ke 
                          Check Point 2 . KB Mall di Kota Bharu

11.00 am - Amanah Perjuangan di KB Mall oleh :
                      YAB Datuk Bentara Setia Tuan Guru Mursyidul Am PAS
                      [ edar risalah sinopsis Buku Jingga ]

12.00 pm - Makan tengahari dan solat jumaat

02.00 pm - JOM UBAH Bergerak ke Check Point 3 - Alor Star

[ singgah di Baling Kedah : ziarah maqam syuhada' Memali ]

08.30 pm - Solat Isyak - jamak Ta'khir - dan bergerak ke Alor Star

[ BBQ dan Cit Cat JOM UBAH bersama Pak Long dan beberapa selebiriti  di Alor Star ]

12.00 pm - isterehat  [ 21 hb Mei 2011 - sabtu ]

05.30 am - Solat Subuh berjamaah, kuliah subuh, sarapan dan bergerak
                          Ke Check Point 4. - Perlis.

[ ziarah maqam Al Marhum Dato' Tuan Guru Hj Fadhil Mohd Noor ]

09.30 am - Himpunan JOM UBAH 2 di Markaz Tarbiyah PAS Perlis

[ sukan ilmiah : pertandingan kuiz dan debat spontan ]

12.00 pm - Makan Tengahari, solat Jama' Taqdim dan bergerak ke
                       Check Point 5. - Penang

02.30 pm - Santai JOM UBAH di Pantai BERSIH Penang

[ Hi tea, Teater Musical Alternatif, Islamic Boria Pulau Pinang, pidato kanak - kanak, taaruf santai, sessi foto dll ]

05.30 pm - Bergerak ke Check Point 6 . Perak

08.30 pm - Solat Isyak  jama' Ta'khir dan makan malam

09.30 pm - Malam Kebudayaan JOM UBAH
                          Di Pantai Lumut.
                          [ cit cat, artis undangan, nasyid, sajak perjuangan, 
                          Pentomin, BBQ  dan Mat Sabu ]

12.00 am - Isterehat [ 22 hb Mei 2011 - ahad ]

05.30 am - Solat subuh, kuliah subuh, senaman dan sarapan

08.00 am - Bergerak ke Check Point 7. Selangor

09.30 am - Karnival JOM UBAH di Sabak Bernam

[ bersama Bob Lokman. Pertandingan  Paint Ball, Memanah, Carrom, Guli, Motor lambat, Motor Cantik, Yb Salahudin Ayub dsbnya. ]

01.20 pm - Makan Tengahari, solat zuhur Jamak Taqdim dan bergerak ke
                       Check Point 8. Wilayah Persekutuan.

03.30 pm - Labuh Tirai JOM UBAH

[ Hi tea, ramah mesra bersama anak muda, sessi beri dan terima pandangan dan Taujihat penutup oleh Yb Timbalan Presiden Ust Nasharudin ]

07.00 pm - Bersurai

nota :

[ Jelajah Orang Muda untuk Perubahan - JOM UBAH ] 

JOM UBAH siri 2 
Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada 30 dan 31 Julai 2011 ]

JOM UBAH siri 3
Negeri Sabah pada 26, 27 dan 28 August 2011

JOM UBAH siri 4
Negeri Sarawak pada 23, 24 dan 25 September 2011

Daftar segera melalui DPP Negeri masing - masing atau terus ke lokasi untuk penyertaan anda. Terbuka kepada semua.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Pengarah JOM UBAH


KETUA PEMUDA GESA PEMUDA PERKUKUH MINDA BAWA PERUBAHAN

Ustaz Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Pusat

PERMATANG PAUH, 25 April: Selain mempamerkan kekuatan tenaga para pemuda PAS juga perlu mempunyai kegigihan otak berfikir bagaimana mahu  membawa pemuda Malaysia  ke satu tahap yang membanggakan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi (gambar). 

Barisan Nasional (BN) tambahnya, tidak ada kekuatan untuk memimpin pemuda ke arah itu kerana kepimpinanya terdedah dengan rasuah, suka menyeleweng, tidak tahan dugaan bahkan menjadi Pak Turut ketika memperkatakan sesuatu itu yang ada kepentingan BN.

Dewan Pemuda PAS, Angkatan Muda KeAdilan (AMK) dan Dapsy dari DAP adalah pilihan tepat untuk anak muda sekiranya mahu memilih parti mana sebagai wadah perjuangan tidak lagi Umno atau pemuda BN yang dilihat amat penat dan memerlukan rehat.

"Kekuatan tenaga sememangnya perlu pada pemuda.  Selain itu kita juga perlukan otak yang cerdik untuk mencari bagaimana untuk meranapkan Umno dan BN sebab keupayaan mereka untuk mendidik anak muda agak kontang sekarang ini, " tegasnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke 31 di Dewan Komplek An Nadhoh, Penanti semalam.

Umno dan BN sudah kehilangan taji untuk berentap di arena politik tanah air secara sihat maka untuk memastikan kekuasaan terus berada digengaman mereka terpaksa gunakan bahan lain yang boleh melukakan pihak lawan.

Bagi mereka luka sudah cukup untuk merencatkan perjuangan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, kepimpinan pemuda di semua peringkat wajar mendahului isu yang melanda negara agar rakyat dapat merasai peranan yang dimainkan.

Sikap curi tulang dalam perjuangan katanya, tetap berdosa kerana membiarkan orang lain ke medan bertempur manakala diri sendiri berpeluk tubuh menonton TV di rumah bersama anak dan isteri.

"Curi tulang dalam perjuangan jangan dijadikan amalan.  Ada sesetengah orang bila kalah dalam pemilihan dah berpeluk tubuh di rumah, boikot program padahal mereka yang tewas boleh berperanan dengan cara lain untuk membantu mengatasi kelemahan yang sedia ada, " tambah beliau pada muktamar bertemakan 'Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan'.

Pandangan pemuda juga mesti tajam membaca politik pihak musuh tambahan lagi pemuda BN cuba melaksanakan plan pembaharuan menjelang tarikh pilhanraya umum akan datang.

Muktamar yang berlangsung itu akhirnya mengekalkan dua muka lama iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan timbalannya, Helmi Haron manakala Nor Azman Ishak yang turut menang tanpa bertanding sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Amal Negeri.



KENYATAAN RASMI PEMUDA PAS PUSAT: HENTIKAN MEMBODOHKAN MINDA MELAYU

Hari ini selasa 26hb April 2011, tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris,  New Straits Times memaparkan berita “Nasi lemak twice a week”. Akhbar The Star pula memaparkan berita “Deadly illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion”. Akhbar bebahasa Manderin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia. 

Malangnya tajuk berita utama media cetak berbahasa Melayu,  Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama “Anwar Lelaki Y”, Berita Harian “Lelaki Y Anwar” dan Sinar Harian “Anwar Lelaki Y”. Akhbar bahasa Melayu mejoritinya mengambil kes liwat 2 Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama. Apakah yang menjadi keutamaan kepada berita ini? Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut ?

Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Strait Time yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks. Sebahagian besar pembaca media Utusan Melayu, Berita Harian dan Sinar Harian adalah kelompok orang Melayu berpendidikan rendah dan  tinggal di pinggir dan luar bandar. Sesetengah daripada mereka tidak berpeluang mendapat pendedahan terhadap media baru.

Saya fikir lebih wajar media arus perdana berbahasa melayu meletakan tajuk utama mengenai  dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi.  Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap  isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu sekarang.

Secara umumnya media berbahasa Inggeris, Manderin dan Tamil yang pembacanya terdiri daripada kelompok Melayu kelas menengah ke atas,  masyarakat Cina dan masyarakat India tidak dihidangkan dengan cerita aib dan meloyakan seperti media berbahasa Melayu. Secara perbandingannya seolah-olah mereka dihidangkan dengan isu-isu yang lebih bertamadun daripada kelompok masyarakat Melayu berpendidikan rendah.  Saya memohon agar media arus perdana berbahasa Melayu menghentikan agenda membodohkan minda orang-orang Melayu ini. Sudah cukuplah penjajah membodohkan orang Melayu lebih 400 tahun.  Hidangkanlah minda semua rakyat Malaysia dengan perkara yang segar dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat