Tuesday 31 May 2011

FORUM TEMBUNG PIMPINAN MUDA PAS DAN UMNO

Forum yang menemukan dua tokoh politik muda daripada PAS dan Umno serta ahli agama sepakat menolak politik fitnah yang menjadi punca keruntuhan sesebuah kerajaan dan tamadun.

Bercakap dalam forum itu, Ketua Pemuda PAS pusat Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menjelaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh dan sekiranya ia dilakukan akan menyebabkan berlakunya keruntuhan dan kekacauan dalam masyarakat serta menjatuhkan nilai sesebuah tamadun bangsa.

Bercakap dalam forum yang sama pengerusi pemuda Barisan Nasional yang juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bersetuju dan menambah bahawa fitnah bukan sahaja dilakukan terhadap individu tatapi juga sesebuah masyarakat atau kerajaan yang mana akan menimbulkan stereotaip-stereotaip negatif dan akhirnya menimbulkan perjudis terhadap sesuatu kelompok.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata dalam forum yang sama, fitnah adalah satu senjata yang tertua yang pernah digunakan manusia sejak berabad lamanya.

Beliau juga turut mengecam tindakan ahli agama yang dipergunakan serta akur dengan tuntutan ahli politik yang menjejaskan kredibiliti sebagai ahli agama. 

"Agama boleh menjadi madu dan penawar bagi membetulkan arus dalam politik tetapi ia juga boleh menjadi racun dan menyebabkan kacau-bilau jika disalahgunakan. 

“Manusia melakukan fitnah kerana ingin bersaing dan mahu mewujudkan pengaruh. 

"Golongan yang mempunyai kuasa pula ingin terus kekal di atas dan menggunakan fitnah untuk menumpaskan pesaing mereka. 

“Sebab itu, agama perlu berada di atas politik dan bukan parti politik yang berada atas golongan ulama supaya mengeluarkan fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka,” jelas beiau dengan semangat dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.


Hentikan video seks

Forum yang bertajuk Fitnah: Ancaman umat akhir zaman itu dihadiri lebih 500 orang yang memenuhi Auditorium Kumpulan Media Karangkraf bermula pada jam 2 petang hingga 5 petang menyaksikan hujahan ilmiah daripada ketiga-tiga panel jemputan bagaimana pun disentak dengan isu video seks Anwar Ibrahim sewaktu sesi soalan dibuka kepada hadirin.

Suasana mula hangat apabila hadirin yang terdiri daripada penyokong Khairy dan juga Penyokong PAS mula menggamit supaya ahli panel menjelaskan isu tersebut.

Moderator forum Dr. Maszlee Malik cuba menenangkan keadaan dengan menjelaskan bahawa forum ini adalah berbentuk ilmiah dan tidak akan dicelah dengan bauran politik.

Bagaimana pun setelah dibincang atas desakan hadirin, ketiga-tiga panel bersetuju untuk mengulas isu tersebut.

Mengulas perkara itu, ahli parlimen Rembau Khairy turut menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tindakan mengaibkan mana-mana ahli politik.

"Saya rasa kita setuju tidak mahu aibkan mana-mana orang kerana pekara itu penting dalam mana-mana politik, khususnya dalam negara Islam kerana kita punyai peradaban," katanya.

Mengulas perkara yang sama, Nasrudin berkata berdasarkan peraturan Islam pihak yang menuduh sesorang itu berzina mestilah mengemukakan empat orang saksi.

Selain itu, beliau juga menjelaskan akhbar-akhbar tertentu perlulah menghentikan spekulasi isu tersebut yang akan membawa  kepada merayakan lebih lagi isu fitnah.

Sementara itu, Dr. Asri menjelaskan beliau tidak dapat menerima keadaan tersebut sehingga menyebabkan rakyat lupa kepada isu-isu yang lain.

"Kita suka menggunakan kelemahan peribadi orang lain untuk diangkat menjadi isu politik.

"Bukan sahaja isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu pembunuhan Altantuya, dan berbagai isu sebelum ini pun turut dijadikan senjata untuk menyerang kelemahan peribadi seseorang," katanya.

Beliau juga turut membidas golongan ahli agama yang sesetengahnya tidak betul bagi keadaan yang berpihak kepada "polisinya" terus mengeluarkan dalil dari al-Quran menyokong tindakan itu

Sebaliknya pekara yang dilakukan itu salah dari sesi agama, ahli agama ini terus diam tanpa berdalil atau yang lebih teruk mengeluarkan dalil yang menghalalkan tindakan tersebut.

Berhubung isu video seks tersebut, beliau menegaskan bahawa beliau antara tokoh yang awal tidak bersetuju dengan pendedahan keaiban individu termasuk menjadikan ia sebagai modal politik.

"Ini budaya fitnah saya tidak bersetuju dan saya menggesa kerajaan dan akhbar supaya menghentikan isu berkenaan yang tidak tahu kebenarannya lagi," tegas beliau yang mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin.


No comments:

Post a Comment