Thursday 19 May 2011

JANGAN BIAR KEPENTINGAN PERNIAGAAN MENGATASI TUNTUTAN DEMOKRASI

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menilai kembali pendirian berhubung keputusan menghantar tentera pengaman ke Bahrain yang kini sedang bertindak keras terhadap rakyatnya yang menuntut perubahan ke arah demokrasi dan hak asasi manusia yang lebih dihormati.

LA DPPP kesal dengan kenyataan Najib yang menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap kerajaan Bahrain yang kini bersungguh-sungguh mematahkan kebangkitan rakyat negara itu dengan sokongan negara-negara Arab Teluk dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) termasuk negara jiran, Qatar.

Sebelum ini, Najib turut mengeluarkan kenyataan mengaitkan pembangkang dan sekumpulan rakyat Bahrain dengan kumpulan teroris.

Dunia kini didedahkan dengan maklumat bahawa pelbagai lapisan rakyat termasuk komuniti perubatan dan aktivis pembangkang ditahan dan diseksa oleh aparatus keselamatan kerajaan negara itu.

Sokongan tidak berbelah bagi tanpa syarat yang ditunjukkan oleh Najib juga menimbulkan persoalan adakah kepentingan perniagaan di negara-negara GCC mendasari sikap kerajaan pada masa ini, sehingga mengabaikan tuntutan-tuntutan sah rakyat negara di kawasan tersebut.

Umum mengetahui syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam pelbagai projek berbilion ringgit di negara Arab Teluk. Najib juga ketika lawatan ke Qatar menggesa syarikat Malaysia merebut peluang kontrak infrastruktur bernilai RM434bilion yang ditawarkan di Qatar.

LA DPPP mendesak kerajaan Malaysia tidak menjadikan kepentingan-kepentingan tersebut sebagai lebih penting berbanding tuntutan demokrasi rakyat di Bahrain dan negara-negara di wilayah itu semata-mata utk mengelabui rakyat Malaysia untuk Malaysia mendapat habuan setelah ekonomi negara jatuh dengan teruk akibat kegagalan Umno dan Barisan Nasional mengurus negara.




Raja Ahmad Iskandar al-Hiss 
Pengerusi 
Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat
Merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak

No comments:

Post a Comment